Tuntut Kunci Rumah

Tags: , ,

Lebih 1,000 pembeli rumah di Alam Perdana masih belum menerima kunci yang dijanjikan selepas pilihan raya lalu.

Wakil pembeli, Kapten (B) Amiruddin Abdullah, 55, berkata, hanya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang boleh membantu menyelesaikan masalah kegagalan penyerahan kunci kepada 1,116 pembeli kerana beliau mempunyai kuasa mengarahkan agensi berkaitan seperti mana janji yang diberikan melalui siri perjumpaan sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, hanya kunci rumah milik peneroka sahaja diserahkan sedangkan mereka tidak menanggung sebarang hutang bank seperti dibebani pembeli sepertinya sejak 13 tahun lalu sekali gus menjadikan situasi tidak adil.

“Kita tidak menolak inisiatif kerajaan negeri yang sebelum ini mengambil berat isu ini dan membantu pembeli sehingga projek ini siap, malah saya lihat sudah ada orang pun duduk di sini.

“Yang hairannya apabila sehingga kini kunci masih belum diserahkan sedangkan peneroka sudah terima kunci. Apa lagi yang perlu kami tunggu sedangkan semua sudah ada,” katanya.

Amiruddin berkata, pihaknya turut memberi tempoh sebulan kepada pihak berkaitan untuk menyerahkan kunci kepada pembeli dan jika masih gagal berbuat demikian, satu memorandum akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, mereka mahu perkara itu diselesaikan segera memandangkan isu yang timbul antara Permodalan Nasional Selangor Bhd (PNSB) dengan Indah Water Konsortium (IWK) membabitkan spesifikasi pembetungan di kawasan perumahan itu sahaja.

“Hasil rujukan di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mendapati, masalah disebabkan isu pembetungan yang sehingga kini belum menerima kata putus mengakibatkan pembeli menunggu lama.

“Selepas itu, masing-masing mendiamkan diri tanpa maklumat mengenai kesinambungan kerja yang sudah mereka laksanakan berhubung isu rumah di Alam Perdana menyebabkan pembeli buntu,” katanya yang turut dihadiri lebih 200 pembeli di Alam Perdana, semalam.

Duit habis, rumah tak dapat

Pembeli, Azli Mokhtar, 37, berkata, dia terpanggil untuk datang ke perjumpaan pembeli rumah Alam Perdana kerana mahu mengetahui status projek yang sehingga kini masih kabur memandangkan dia masih tidak dapat menghuni rumah yang dibeli sejak 2000 itu.

“Saya mahu kepastian punca kelewatan penyerahan kunci yang sepatunya dapat pada Januari 2012 lalu kerana tak tahan lagi menanggung hutang bank sebanyak RM700 setiap bulan tetapi rumah belum dapat dihuni.

“Sampai bila kami harus tunggu sedangkan duit sudah banyak habis setiap bulan,” katanya.

Sementara Mohd Hanif Md Sultan, 49, berkata, sepatutnya penerangan mengenai kesinambungan kerja yang sudah dilaksanakan beberapa agensi di bawah kerajaan negeri didedahkan secara umum bagi mencerahkan keadaan.

“Perkara ini berlaku kerana tiadanya kesinambungan makluman berterusan yang diberikan kepada pembeli menyebabkan kita terpaksa turun naik ke pejabat agensi mendapatkan maklumat terkini.

“Saya tidak mahu usaha kerajaan negeri yang mahu membantu pembeli terkubur begitu sahaja hanya kerana masalah pembetungan yang sehingga kini belum dapat diselesaikan,” katanya.

Bagi Mohd Jais Abd Rashid, 46, berkata, pembeli menuntut janji kerajaan negeri yang sebelum ini memberi jaminan bahawa kunci akan diserahkan berperingkat selepas penyerahan kunci kepada peneroka.

“Namun sehingga kini masih tiada berita baik diterima menyebabkan kami mempertikaikan ketelusan kerajaan negeri yang seolah-olah mengutamakan peneroka berbanding pembeli,” katanya.

Tiada sokongan Syabas dan IWK

Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan menjelaskan, meskipun kerajaan negeri merampas dan mengambil semula tanah serta meneruskan kerja pembinaan semula 1,116 unit rumah teres setingkat dan dua tingkat, namun beberapa masalah timbul.

Menurutnya, kerja pembinaan 1,116 unit itu dilaksanakan PNSB dan menerima sijil layak menduduki (CF) sementara, namun sokongan pihak Syabas dan IWK masih belum diperoleh sepenuhnya.

“Situasi sama turut berlaku di 2,500 unit rumah pangsa kos rendah apabila CF kekal tidak dapat dikeluarkan berikutan tidak menerima sokongan IWK berhubung isu loji rawatan kumbahan yang sepatutnya diselesaikan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Loji rawatan kumbahan berpusat itu sepatutnya disempurnakan SPNB mengikut aku janji namun sehingga kini kerja pembaikan masih belum sempurna dan belum diserahkan kepada IWK untuk sokongan lanjutan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Print