Rehda Yakin Pasaran Hartanah Semakin Baik

Tags: , , , , , ,

Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) yakin industri perumahan dan pasaran hartanah pada separuh kedua akan terus mempamerkan prestasi baik, kata Presidennya Datuk Seri Michael KC Yam.

Yam berkata, keputusan yang didapati dalam Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Pertama Rehda 2013 menunjukkan, secara amnya pasaran hartanah akan terus mantap.

Berikutan ini, kata beliau, responden umumnya yakin mengenai tinjauan masa depan bagi enam bulan kedua 2013 serta menunjukkan sentimen positif dan prospek yang sama berterusan pada separuh tahun pertama 2014.

Berdasarkan sampel 150 syarikat anggota dari semua negeri di Semenanjung Malaysia, hasil kajian menunjukkan peningkatan dalam bilangan pelancaran pada enam bulan pertama 2013 bersama-sama dengan bilangan responden melaporkan prestasi jualan yang bertambah baik.

Yam berkata, berdasarkan hasil kajian, pelancaran masa depan dijangka terus mengalami aliran menaik dengan hartanah strata dijangka menguasainya.
“Pelancaran hartanah bagi separuh kedua tahun ini dijangka meningkat dalam bilangan unit pada 60 peratus,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, semalam.

Sumber : Berita Harian

Print