Tangani manipulasi harga rumah

KUALA LUMPUR 18 Mac – Kegiatan manipulasi harga rumah oleh pemaju perlu ditangani segera bagi mengelakkan negara dilanda krisis subprima seperti yang pernah berlaku di Amerika Syarikat (AS).

Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) berkata, isu harga rumah yang melambung tinggi jika dibiarkan akan menjadi ‘gelembung’ yang boleh meletup pada bila-bila masa sahaja.

Menurut beliau, krisis subprima yang berlaku di AS pada 2008 telah menyebabkan ratusan ribu orang hilang pekerjaan dan ribuan syarikat ditutup, malah firma besar seperti J. P. Morgan terpaksa diselamatkan oleh kerajaan AS.

“Kita tidak boleh membiarkan kegiatan spekulasi bersembunyi di sebalik konsep pasaran bebas,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Irmohizam turut menyuarakan kebimbangan tentang kewujudan kartel yang memainkan peranan sebagai dalang di sebalik kegiatan spekulasi harga rumah.

Beliau memberitahu, kartel yang terdiri daripada pemaju, ejen, peguam dan bank itu sentiasa mencari peluang untuk ‘menakluk’ projek perumahan termasuk program MyHome yang diperkenalkan kerajaan.

“Kerajaan harus menyelesaikan masalah ruang lompong yang dimainkan kartel agar masalah perumahan di negara ini dapat diatasi.

“Apatah lagi ketika pemain-pemain utama dalam industri ini melihat subsidi RM300 juta yang disediakan kerajaan untuk projek MyHome,” jelasnya.

Tambah Irmohizam, sekiranya kegiatan kartel projek perumahan dibiarkan berleluasa, matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan untuk membantu rakyat tidak akan tercapai.

“Saya dapat rasakan pemain industri yang licik sudah mula merancang ‘pelan ghaib’ untuk mengembangkan amalan kos tersembunyi bagi meraih keuntungan,” ujarnya.

Sumber : Utusan

Print