Felda Lancar Apartment Grand Plaza di London

Tags: , , , , , ,

 

Felda Investment Corp (FIC) UK Properties telah membuka secara rasmi Apartmen Berperkhidmatan Grand Plaza, satu aset London yang dibeli pada 4 September lepas pada harga 98 juta pound (RM495.88 juta).

“Apartmen berperkhidmatan itu disenaraikan pada tempat pertama dalam carian Google, dan urusan sewaan apartmen tersebut dilakukan 75 peratus secara dalam talian,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan yang dihantar dari London, semalam.

Ia dilancarkan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, baru-baru ini.

Mohd. Isa berkata, apartmen berperkhidmatan itu dilengkapkan dengan kemudahan memasak dan mencuci, sesuai untuk penginapan jangka panjang.

Memandangkan ia dimiliki FIC, semua makanan yang disediakan di Grand Plaza Bistro yang menghidangkan sarapan pagi Inggeris adalah halal, tambah beliau.

Residential Land telah menjual apartmen yang berstatus hak milik kekal, kepada FIC UK Properties, sebuah anak syarikat Felda.

Grand Plaza adalah salah satu bangunan apartmen berperkhidmatan terbesar di London dengan 198 apartmen di 13 bangunan dengan jumlah keluasan 105,044 kaki persegi.

Apartmen Berperkhidmatan Grand Plaza terletak berdekatan stesen tren bawah tanah Bayswater dan mencatatkan purata 90 peratus penginapan sebulan.

Grand Plaza pernah memenangi anugerah emas di bawah agoda.com pada 2011. – BERNAMA

Print