Dilema Tanah Rezab Melayu

Tanah yang Hilang Tidak Berganti. Dilema Tanah Rizab Melayu.

Oleh Aidil Halim

“Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytiharkan dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.”

Pernyataan di atas adalah antara 7 wasiat Raja-Raja Melayu dan salah satunya adalah mengenai Tanah Rizab Melayu semasa bersetuju untuk menandatangani persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

Bila aku baca wasiat Raja-Raja Melayu ini, aku rasa yang ada tidak kena dengan apa yang berlaku ketika ini. Banyak tanah Rizab Melayu kini telah hilang dan jika ada ianya terletak di kawasan terpencil.

Jika dilihat pada kajian yang dilakukan pada tahun 2009,hanya tinggal 12 peratus sahaja Tanah Rizab Melayu dari 12.9 juta hektar yang pernah diperuntukkan sebelum ini. Persoalannya bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? 

Mengikut undang-undang, sesuatu tanah Rizab Melayu hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu dan tidak boleh dipindah milik kepada kaum lain. Mungkin ini menjadikan ianya kurang mendapat sambutan dari orang Melayu sendiri kerana memikirkan kesukaran untuk menjualnya pada masa depan.

Makanya, pihak pemaju mengambil langkah mudah menukar status tanah Rizab Melayu kepada tanah pegangan terbuka agar ia boleh menjual kepada semua kaum.

Siapa yang sepatutnya memainkan peranan dalam isu ini? Pada aku pihak kerajaan yang awal-awal lagi perlu berdiri di depan dalam menangani isu tukar status ini. Penguatkuasaan haruslah tegas. Sikap sambil lewa dan tidak tegas telah merosakkan instusi kerajaan di mata masyarakat. Masyarakat akan berfikir bahawa tiadanya undang-undang untuk mengekat masalah ini.

Aku mencadangkan supaya satu badan khas ditubuhkan bagi memantau segala pembangunan dan transaksi yang dilakukan terhadap tanah Rezab Melayu ini. Dengan cara ini, situasi menang-menang akan berlaku antara pihak yang membangunkan tanah dan juga pemilik asal tanah.

Badan tersebut akan memastikan hak-hak mutlak Rizab Melayu ini terjaga walaupun tanah tersebut dibangunkan. Yang menyeleweng patut dihadapkan ke muka pengadilan. Jika ketegasan ini berlaku, aku yakin tiada lagi masalah tanah Rizab melayu ‘hilang’ di bumi bertuah ini.

Sebenarnya, telah wujud undang-undang yang baik bagi melindungi perkara ini yang dikenali sebagai Enakmen Rizab Melayu.

Dalam enakmen tersebut salah satu yang termaktub di dalamnya adalah:

‘Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah.’ [ Rujuk Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan]

Tetapi apa yang berlaku ketika ini, tanah Rizab Melayu yang diambil atau ditukar jenis pemilikan tidak digantikan dengan tanah yang setaraf. Jika adapun ianya tidak setanding dengan tanah asal atas sebab faktor lokasi dan kurangnya pembangunan.

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh satu majalah online prospekhartanah.com pada Disember 2014, laporan tersebut telah menyenaraikan beberapa kes yang pernah berlaku:• Sebanyak 9,000 hektar tanah Rizab Melayu ‘hilang’ melalui pemerolehan wajib dan pihak berkuasa negeri tidak menggantikannya dengan tanah lain yang setanding.• 80 pemilik tanah Rizab Melayu di Kedah kehilangan tanah mereka di Pantai Chenang bagi membangunkan resort.• Pada tahun 1994, lebih 600 pemilik tanah Rizab Melayu di Rasah hilang 930 hektar tanah untuk pembangunan besar-besaran bandar Seremban.• Di Johor, sebanyak 26,000 ekar tanah rizab Melayu di Tanjung Langsat dan Tanjung Piai diperolehi pihak berkuasa negeri untuk pembangunan.• 300 ekar tanah Rizab Melayu di Kampung Pantai Kundur dan Tanah Merah Melaka diperoleh bangi membangunkan zon pemampan.• 300 ekar tanah Rizab Melayu di Terengganu diperoleh bagi membenarkan pembangunan tempat peranginan.

Orang Melayu juga sepatutnya turut memainkan peranan dengan mewujudkan inisiatif untuk membangunkan tanah Rizab Melayu. Jangan hanya menunggu sahaja inisiatif dari pihak kerajaan. Melayu bukan lagi kaum yang hanya nganga mulut menunggu untuk disuapkan. Sebagai langkah inisiatif, tanah Rezab Melayu ini harus dibangunkan dan diberikan nafas baru.

Harus ada pihak dari golongan hartawan melayu yang ingin membangunkan tanah Rizab Melayu ini dan seterusnya menjadikan sesuatu kawasan yang asalnya kontang jadi membangun setanding kawasan-kawasan lain tanpa perlu menukarkan status tanahnya. Ianya haruslah kekal 100 peratus pegangan melayu.

Seringkali terjadi, tanah Rezab Melayu lambat menerima pembangunan disebabkan kerana orang melayu sendiri yang tidak pernah ambil kisah untuk membangunkannya. Lihat sahaja kawasan Kampung Sungai Penchala yang masih belum membangun sedangkan kawasan sekitarnya seperti Damansara dan Petaling Jaya yang jauh lebih pesat membangun.

Aku percaya, jika dibangunkan lebih awal harga tanah Rizab Melayu ini akan setanding dengan harga tanah di Damansara dan Petaling Jaya yang mana ketika ini harganya melambung tinggi. Kalau ikut pada pengamatan aku harganya hampir satu kali ganda lebih tinggi.

Kau tahu berapa harga satu kaki persegi teres dua tingkat di Taman Tun Dr. Ismail dan kondominium di Mutiara Damansara? Harganya mencecah sehingga RM1,000 sekaki persegi. Sedangkan harga sekaki persegi apartment atau kondominium di Kampung Sungai Penchala berlegar antara RM500-RM600 sahaja sekaki persegi. Alasannya adalah tanah tersebut adalah tanah Rizab Melayu dan lambat menerima pembangunan.

Satu lagi yang mendatangkan masalah bagi aku adalah pihak pemaju yang rakus dan hanya memikirkan keuntungan. Rakus memohon dengan kerajaan negeri untuk mengubah status tanah Rezab Melayu ini hanya untuk memudahkan mereka. Apabila status tanah ini diubah, pembangunan yang dilakukan boleh dijual kepada kaum lain. Yang lebih menggerunkan, pemaju tidak menggantikan tanah Rezab Melayu yang diambil dengan tanah lain.

Dalam laporan audit 2013 Siri 2 yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara yang mendedahkan terdapat kes tanah Rizab Melayu di negeri Selangor yang diberikan kepada orang bukan melayu dan lebih ribuan ekar lagi dicabut statusnya atas pelbagai sebab.

Laporan tersebut mendedahkan bahawa antara bulan November 2013 dan Januari 2014, sebanyak 3,960 ekar daripada 10,265 ekar (bermakna 38.6 peratus) tanah Rizab Melayu di Selangor telah dibatalkan tetapi tidak diganti. 

Bila memikirkan yang kurangnya penguatkuasaan, tidak hairanlah pemaju-pemaju ini rakus memohon menukar status. Semakin lama, tanah Rizab Melayu ini semakin hilang. Lama kelamaan, orang melayu ini akan hilang haknya dan mula memenuhi kawasan pedalaman.

Kita ambil dari sudut pandang yang positif. Bagi aku melayu itu harus agresif. Ambil inisatif untuk memberi sokongan kepada pemaju yang bersungguh-sungguh dan telus untuk membangunkan tanah Rezab Melayu. Sedaya-upaya cuba untuk membeli hartanah Rizab Melayu apabila mengetahui ada tanah yang hendak dibangunkan.

Wujudkan kesedaran dikalangan orang melayu bahawa tanah ini boleh dibangunkan. Bila wujudnya kesedaran, permintaan juga akan turut meningkat. Kita yang berada pada golongan pertengahan ini yang sepatutnya wujudkan kesedaran. Yang berlaku ketika ini hanyalah sikap tunggu dan lihat. Sikap hendak mengetahui ayam yang wujud dahulu atau telur yang wujud dahulu. Sikap aku pandang kau, kau pandang aku.

Jangan tengok sahaja. Bersama-samalah kita bangunkannya untuk masa depan anak-anak kita yang lebih cerah. Ubah stigma masyarakat bahawa tanah Rizab Melayu ini ‘Low Class’.

Print