2 Jenis Consent (Kebenaran) Dalam Urusan Jual Beli Rumah dan Hartanah

Anda sudah bertekad untuk membeli rumah idaman anda yang baru sahaja anda viewing sebentar tadi. Anda tertarik dengan keadaan rumah, susun atur rumah dan lokasi yang ditawarkan. Wang cagaran juga anda telah sediakan. Tahukah anda, anda juga perlu jelas mengenai jelas mengenai status rumah tersebut sama ada ianya Freehold, Leasehold, Rezab Melayu atau sebagainya. Ini kerana ianya berkait rapat dengan consent (Kebenaran) dalam urusan jual beli rumah dan hartanah. Ia juga memberi kesan terhadap tempoh masa (timeline) penjualan hartanah dari awal sehingga selesai.

Jika hartanah tersebut berstatus Leasehold (pajakan), ada satu ketetapan yang biasa kita baca ada pada geran iaitu;

Tanah yang diberi milik ini tidak boleh dipindah milik, dipajak atau digadai melainkan dengan kebenaran Pihak Berkuasa Negeri

Jelaslah ketetapan yang perlu dilalui untuk sebuah hartanah yang mempunyai sekatan kepentingan perlu mendapatkan consent bagi segala proses pindahmilik, gadaian dan pajakan. Hanya dengan consent yang diperolehi setelah memohon kepada Pihak Berkuasa Negeri atau Pihak Pejabat Tanah membolehkan urusan-urusan penjualan rumah dan hartanah tersebut boleh diteruskan.

Dalam proses jual beli hartanah yang mempunyai sekatan, dua jenis consent (kebenaran) dalam urusan jual beli rumah dan hartanah yang biasanya diperlukan adalah:-

1. Consent to Transfer (Kebenaran Pindahmilik)

Consent to Transfer bermaksud kebenaran pindahmilik suatu hartanah dari satu pihak kepada pihak yang lain. Dalam proses jual beli rumah, kedua-dua pihak ini merujuk kepada penjual dan pembeli. Proses ini biasanya diselesaikan oleh pihak peguam yang dilantik. Apabila permohonan diluluskan, satu blanket consent akan dikeluarkan bagi meneruskan proses urusan transaksi.

Kebiasaannya, proses permohonan Kebenaran Pindahmilik ini memakan masa lebih kurang 3 bulan dari tarikh pihak peguam menghantar permohonan. Boleh jadi juga proses tersebut memakan masa yang lebih lama terutama melibatkan urusan pertukaran status tanah dari pegangan bumiputera kepada bukan bumiputera.

Untuk mempercepatkan proses, adalah disarankan supaya, penjual dan pemilik bumiputera menjual rumah atau hartanah mereka kepada bumiputera sahaja untuk mengelakkan sebarang kesukaran dalam urusan penjualan.

2. Consent to Charge (Kebenaran Gadaian)

Consent to Charge pula bermaksud kebenaran gadaian. Gadaian ini adalah bagi transaksi jual beli rumah yang menggunakan pembiayaan atau pinjaman bank atau kerajaan. Gadaian ini adalah bagi memelihara hak dan kepentingan pihak pemberi pinjaman/pembiayaan iaitu bank atau kerajaan (LPPSA) agar wang yang telah mereka keluarkan dapat diperolehi semula dengan jadual pembayaran yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Pinjaman.

Dalam ertikata lain, pihak pemberi pinjaman akan memasukkan nama mereka dalam geran sedia ada dan mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja apabila pembeli melanggar syarat-syarat dan ketetapan dalam Perjajian Pinjaman seperti menyita rumah dan hartanah atau melelong hartanah tersebut.

Apakah dokumen yang diperlukan?

Untuk permohonan consent kepada Pihak Berkuasa Negeri, beberapa dokumen yang perlu dikemukakan adalah:-

i. Borang Permohonan Kebenaran Pindah milik dan gadaian yang telah diisi dan ditandatangani.
ii. Salinan sijil carian rasmi (geran tanah) yang diakui sah
iii. Salinan diakui sah Surat Perjanjian Jual Beli
iv. Salinan diakui sah surat pinjaman bank dari bank kepada pembeli
v. Salinan Kad Pengenalan pembeli dan penjual yang diakui sah
vii. Salinan resit cukai tanah dan cukai pintu tahun semasa yang diakui sah
viii. Wang bayaran permohonan.

Setelelah permohonan consent diluluskan, transaksi penjualan seterusnya dalam proses jual-beli boleh diteruskan. Ini menunjukkan bahawa, permohonan consent ini adalah merupakan perkara utama yang perlu dijelaskan dalam uusan jual-beli rumah dan hartanah.

Terima kasih kerana sudi membaca.

Perlukan khidmat Ejen Hartanah Berdaftar untuk membantu anda jual rumah? Tim saya akan bantu bermula dari semakan MARKET VALUE, kajian MARKET DEMAND, menjalankan PEMASARAN hinggalah menemui pembeli. Hubungi segera di talian 017-6198379 (Aidil Halim). Serahkan kekusutan proses jual rumah kepada tim saya.

Print