Tegur GLC bina rumah mewah

Tags: , , , , , ,

DALAM kehidupan, beberapa keperluan asas seperti air, elektrik, kediaman, perubatan, keselamatan serta pengangkutan amat penting khususnya bagi golongan muda-mudi yang baru mulakan hidup berkeluarga.

Malangnya, sesetengah pihak hanya melihat keperluan asas hidup itu sebagai bahan niaga yang boleh membawa keuntungan lumayan jika ‘dimanipulasi’ dengan baik, tanpa rasa bersalah mahupun peduli impaknya terhadap sistem sosioekonomi rakyat dan geopolitik negara.

Lebih menyedihkan apabila perkara ini dilakukan kalangan syarikat milik kerajaan (GLC) peringkat nasional ataupun negeri yang begitu ghairah sebagai pemaju membina rumah mewah melebihi RM500,000 seunit berbanding rumah mampu milik dengan harga kurang RM400,000 seunit.

GLC berkenaan menerima tanah anugerah daripada kerajaan dengan kadar premium rendah tetapi mengutamakan pembinaan rumah mewah, walaupun di atas bekas tanah estet jauh di pinggir bandar atas kiblat keuntungan semata-mata.

Bagi anak muda, khususnya muda-mudi Melayu bumiputera yang baru mula bekerja, sikap GLC seperti itu yang menimbulkan rasa benci kepada sektor korporat serta terhadap pemilik GLC tersebut iaitu kerajaan negeri atau Pusat.

Walaupun rata-rata GLC dikawal anak Melayu tetapi kawasan penempatan Melayu juga yang menjadi sasaran utama mereka membina rumah-rumah mewah yang hanya mampu dimiliki orang bukan Melayu mahupun warga asing.

Tentunya tidak salah untuk GLC mencari keuntungan besar melalui projek perumahan mewah tetapi perlukah setiap inci tanah khususnya di bandar dan pinggir bandar hanya untuk membina rumah mewah?

Bagi anak muda yang tidak mampu membelinya, tindakan itu dilihat sebagai gerakan terancang menghalau mereka kembali ke kampung atau menyewa pada kadar mahal, menjadikan bandar dan pinggir bandar kawasan eksklusif dan elit untuk orang kaya serta warga asing sahaja.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman kecewa dengan sikap GLC yang terus mengutamakan keuntungan daripada desakan rakyat untuk mendapat kemudahan asas seperti rumah mampu milik.

“Dahulu kita ada sistem mendemokrasikan bumbung rumah, setiap rakyat diberi peluang dapat bumbung sendiri.

“Kalau GLC ada tanggungjawab multi dimensi selain keuntungan peribadi, mereka akan dukung cita-cita kerajaan dan fokus kepada perumahan untuk rakyat yang kurang mampu,” tegasnya.

Tambahnya, kawasan yang diberikan kepada GLC merupakan tanah premium tetapi sepatutnya mereka bahagikan untuk turut penuhi keperluan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.

Menurutnya lagi, setiap tanah yang kerajaan anugerahkan itu perlu ditetapkan peratusannya khusus untuk pembinaan rumah mampu milik bagi menghalang setiap inci digunakan untuk membina rumah mewah semata-mata.

“Jika kerajaan tidak tetapkan syarat pada tanah-tanah ini, pemaju sama ada GLC atau swasta tidak akan minat membina rumah sederhana dan murah yang kecil keuntungannya.

“Jika terus dibiarkan begitu, maka rakyat yang tidak mampu akan ditolak keluar dan terpaksa tinggal jauh dari kawasan bandar mahupun pinggir bandar,” katanya.

Beliau menegaskan, penstrukturan sosial di kawasan bandar khususnya untuk orang Melayu masih belum selesai dan perlu diatasi dengan segera memandangkan sasaran 30 peratus bumiputera di bandar juga masih belum dicapai.

Jelasnya, penstrukturan sosial ini juga menjadi antara tanggungjawab GLC dan kepimpinan syarikat-syarikat itu tidak sepatutnya mudah lupa khususnya impak terhadap kepentingan geopolitik sesuatu kawasan yang dibangunkan.

“Jika tidak ramai bumiputera tinggal di satu-satu kawasan, maka tiada juga pengundi bumiputera di kawasan itu. Maka, semua agensi perlu digerakkan, termasuk GLC untuk mendokong antara satu sama lain ke arah usaha ini.

“Dasar-dasar itu sudah ada, cuma perlu dilaksanakan dengan lebih pantas untuk capai keseimbangan penduduk di kawasan kota. Tidak boleh hanya harapkan PR1MA dan agensi tertentu sahaja membina rumah mampu milik,” ujarnya.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizzuddin Nooh turut menyokong saranan mekanisme khas sebagai sekatan ke atas perumahan mewah di atas tanah-tanah yang diberikan kerajaan negeri.

“Kerajaan perlu menetapkan kategori binaan khusus untuk rumah murah dan sederhana murah agar mudah menetapkan kuota dan memantau pembinaan perumahan baharu.

“Masalahnya, ramai orang Melayu tidak mampu membeli (rumah mewah), tetapi kuota bumiputera yang tidak dijual itu kemudian boleh dirayu pemaju untuk dibuka kepada bukan Melayu. Mekanisme kuota bumiputera ini tidak mencukupi, tidak jelas dan tidak sama rata,” tegasnya.

Tambahnya, saranan konsep ‘bina dahulu jual kemudian’ pula ditolak kumpulan pemaju seolah-olah mengugut kerajaan sedangkan mereka tiada sebarang kuasa.

Beliau menjelaskan, kerajaan tidak perlu takut kepada mana-mana syarikat kerana lesen mereka boleh ditarik balik dan agensi kerajaan sedia ada mampu mengambil alih kerja-kerja pembinaan rumah baharu.

“Perlu ada sekatan undang-undang ke atas tanah kerana itu akan memaksa pemaju swasta mahupun pemaju GLC mematuhi syarat yang ditetapkan bagi membantu rakyat khususnya golongan pertengahan memiliki rumah sendiri.

“Tetapkan pembangunan tanah di kawasan majoriti golongan susah agar mengutamakan rumah mampu milik. Dengan itu, harga tanah susah naik dan lebih penting lagi penduduk setempat akan memiliki rumah sendiri,” katanya.

Mengambil contoh sebuah kawasan premium yang rata-ratanya didiami orang kampung tetapi demi memajukan kawasan itu orang kampung dihalau keluar, seterusnya menjadikan tanah itu hanya untuk golongan elit bandar.

Jelasnya lagi, penempatan elit yang menolak jauh golongan susah itu akhirnya akan membentuk satu penempatan besar tempat tinggal rakyat yang kurang mampu membeli rumah mahal.

“Lihat sahaja di Nilai, rumah teres dua tingkat di tengah, bukannya lot tepi sudah lebih RM300,000, berjangkit dengan kenaikan mendadak di Seremban. Ini bukannya Ampang atau Petaling Jaya tapi sudah begitu mahal, bagaimana jika berjangkit ke kawasan lain pula?

“Kerajaan perlu menilai kembali definisi ‘sederhana’ kerana rumah berharga 200,000 sudah tiada. Paling teruk terjejas adalah golongan pertengahan bergaji RM4,000 sebulan, rumah murah tidak layak beli, rumah sederhana pun tidak mampu beli,” dakwanya.

Mohamad Noorizzuddin juga hairan bagaimana Malaysia yang masih dalam perjalanan ke arah negara maju tetapi harga rumah di sini lebih mahal daripada di negara maju.

“Ironinya, penduduk di Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom lebih suka menyewa daripada membeli rumah walaupun harganya murah.

“GLC diketuai orang-orang korporat yang bijak pandai, saya tidak tahu bagaimana lagi kerajaan mahu sedarkan mereka. Mekanisme sekatan atas syarat tanah mungkin cara terbaik kawal harga hartanah dan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat,” ujarnya.

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd
Print