Tag ID bagi perunding hartanah mulai Mei ini

Ajen Hartanah

PUTRAJAYA – Perunding hartanah akan menggunakan tag pengenalan diri mulai Mei ini untuk menangani aktiviti ejen hartanah tidak sah.

Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Datuk Abdul Hamid Abu Bakar berkata sistem pengenalan baharu itu bukan sahaja akan meningkatkan standard industri, malah meningkatkan keyakinan masyarakat.

“Terdapat kod QR pada tag tersebut. Sesiapa sahaja boleh mengimbas kod itu dan memeriksa sama ada perunding hartanah itu berdaftar atau tidak,” katanya pada majlis taklimat media di sini hari ini.

“Kami boleh mengambil tindakan berdasarkan aduan terhadap perunding hartanah yang berdaftar. Tetapi bagi perunding hartanah yang tidak sah, kami tidak boleh berbuat apa-apa, dan menyerahkan kes itu untuk disiasat oleh polis.

“Dalam beberapa kes, mangsa tidak dapat semula deposit mereka, ada yang melibatkan jumlah yang banyak, jika harga harta itu bernilai tinggi. Inilah masalah apabila berurusan dengan perunding hartanah yang tidak sah.

“Oleh itu setiap orang perlu menggunakan khidmat pengamal yang berdaftar dalam industri hartanah bagi mendapatkan khidmat terbaik,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai tag pengenalan diri itu.

Menurut Abdul Hamid semua perunding hartanah mesti bekerja sepenuh masa.

Beliau yang juga Presiden Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah (BOVEA), berkata pada masa ini, terdapat 1,779 ejen hartanah dan lebih daripada 16,243 perunding berdaftar dengan BOVEA. – Bernama

Print