Hartanah Sarawak dijangka meningkat

Harga hartanah di  Sarawak dijangka meningkat sebanyak lima hingga 10 peratus bermula tahun depan.

Naib Presiden Persatuan Perumahan dan Pembangunan Hartanah Sarawak (Sheda) Datuk Joseph Ting King Sung berkata, ia disebabkan faktor-faktor normal seperti peningkatan nilai hartanah dan kos pembinaan, bahan binaan, buruh dan tanah yang tinggi, dan bukannya disebabkan aktiviti spekulasi semata-mata.

“Faktor-faktor penyumbang lain ialah kenaikan harga bahan api baru-baru ini dan tindakan tegas ke atas pendatang asing yang sedang dikuatkuasakan sekarang,” katanya.

Menurutnya, walaupun jualan dan pembelian hartanah tidak menerima kesan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), bahan binaan dan perkhidmatan berkaitan lain akan menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan itu.

Ting yang juga sendiri seorang pemaju dengan beberapa projek di sini dan Kota Kinabalu berkata mujurlah tiada sebarang langkah tambahan atau sekatan ke atas pembiayaan, yang membolehkan pembeli pertama dan kedua memperoleh pembiayaan tinggi pada kadar faedah rendah dan banyak mudah tunai.

Beliau berharap lebih banyak rumah di bawah harga RM380,000 boleh dibina untuk memenuhi permintaan rumah mampu milik daripada kumpulan pendapatan sederhana.
Bernama

Print