Deposit Pembelian Rumah Idaman

deposit_pembelian_rumah_idaman

Dalam tugasan seharian saya sebagai Perunding Hartanah Berdaftar, seringkali diajukan soalan mengenai berapakah jumlah deposit yang perlu dibayar bagi pembelian rumah idaman. Kebanyakan dari pembeli yang saya jumpa agak keliru atau tidak pernah ambil tahu mengenai deposit pembelian rumah idaman ini.

Deposit pembelian rumah idaman ini adalah sebanyak 10%. Ianya boleh saya klasifikasikan sebagai wang tanda jadi untuk meneruskan urusan jualbeli hartanah.

 

Mengapa perlu deposit 10% ini ?

Ini kerana pihak bank hanya memberikan pinjaman sebanyak 90% daripada nilai pasaran semasa atau 90% dari harga dipersetujui jika harga tersebut adalah dibawah nilai pasaran. Ini bermakna, pembeli seharusnya mempunyai 10% tunai yang dikira sebagai deposit untuk melengkapkan jumlah 100%.

Ianya juga dianggap sebagai satu komitmen kepada pembeli agar tidak sewenang-wenangnya menarik diri dari urusan jual-beli agar tidak menyusahkan banyak pihak terutama pihak penjual.

 

Bolehkah jika pembeli membayar deposit kurang dari 10% ?

Jawapannya boleh jika mendapat PERSETUJUAN dari pihak penjual.

Sebenarnya, deposit yang telah dibayar akan terus dimiliki oleh penjual dan terserah kepada penjual untuk membuat apa sahaja dengan wang tersebut seperti membayar yuran guaman, melakukan penambahbaikan pada rumah dan lain-lain. Jika pihak pembeli melengah-lengahkan pembayaran deposit, dikhuatiri akan menganiaya penjual kerana proses pindahmilik memakan masa yang agak lama iaitu sekitar 4-8 bulan.

 

Jika saya bekerja dengan kerajaan, bolehkah saya beli rumah tanpa deposit ?

Kebiasaanya, penjawat awam atau pekerja kerajaan mempunyai kemudahan pinjaman 100% bergantung kepada gred atau perjawatan mereka. Namun begitu, proses pembelian rumah adalah sama seperti mereka-mereka yang bekerja swasta.

Ini bermakna, mereka perlu menyediakan deposit 10% tersebut dan pengurangan jumlah deposit adalah bergantung atas PERSETUJUAN penjual.

Jika anda faham proses jualbeli, anda sebenarkan akan diberikan ‘refund’ atas pembayaran 10% deposit tersebut apabila urusan pindahmilik selesai. Jadi adalah disarankan anda sedaya upaya untuk menyediakan terlebih dahulu deposit 10% walaupun kelayakan pinjaman anda adalah 100%.

 

Bagaimana pula jika saya nak guna duit KWSP ?

Adalah disarankan juga anda menyediakan deposit 10% dan setelah urusan menandatangani perjanjian jual-beli (S&P) selesai, anda boleh membuat permohonan pengeluaran KWSP dengan membawa salinan perjanjian tersebut ke kaunter KWSP. Urusan pengeluaran memakan masa antara 1 minggu ke 1 bulan bergantung kepada sistem pengurusan KWSP.

 

Kenapa beli rumah dengan pemaju tak perlu deposit 10% ?

Polisi dari pihak bank adalah tertakluk kepada semua jenis hartanah. Iaitu jumlah pinjaman adalah 90% dari harga dipersetujui atau 90% dari harga pasaran. Bagi pemaju, mereka menawarkan harga diskaun kepada pihak pembeli mengikut kriteria-kriteria yang mereka tetapkan seperti diskaun bumiputera, pembelian harga ‘earlybird’ dan lain-lain lagi.

Contohnya, diskaun untuk bumiputera adalah sebanyak 7%. Ini bermakna anda cuma perlu membayar deposit 3% sahaja kerana baki 7% telah diberikan diskaun oleh pihak pemaju.

Semoga bermanfaat.

Print